Tuesday, September 8, 2009

Kaulah Lembu! Akulah Lembu!

Kali ini lembu menjadi subjek popular. Semua orang bercakap, menulis mengenai lembu, paling tidak pun pada yang peduli. Pertunjukan paling gempar dan menggegarkan satu negara yang sekarang ini sedang cuba ada gesaan untuk berubah. Kalau bukan pada orang-orang biasa yang sentiasa meyusuri longkang mungkin hanya di peringkat politik nasional. Atau mungkin juga benar apa yang di panggil 'rakyat' betul sedang, dan mahu berubah, merujuk keputusan mengundi pilihanraya umum lepas atau rujukan yang 'membenarkan' para politikus dalam kata katanya. (Kotak itulah semuanya tanda demokrasi, sumber nyawa, hidup mati, berserah dan meyerahlah segala alam!!) 

Kalaulah pertunjukan di Shah Alam pada 28 haribulan August 2009 yang lepas itu adalah satu pertunjukan seni persembahan alangkah bangganya aku menjadi seorang 'wannabe' seniman. Impak visual arca hidup (atau mati) yang ternyata berkesan menggerakkan warga untuk mempersoalkan nilai nilai besar yang berkesedaran dalam minda yang menjadi pemandu nadi tenaga gerak untuk mengangkat satu jari. Satu impian semua seniman yang mahu karyanya berkesan sehingga sebegitu (tapi entah apa silapnya ia hanya jadi barangan niaga dan suka benar 'dipentaskan' dan terpisah jauh dari kehidupan. Kita yang akhir zaman ni makin kuat cekaman rantai di kaki dengan definisi yang makin ketat sukar untuk bawanya kembali ke pentas sebenar...khususnya dipentas Malaysia nih...duh duh duh..alasan!) Paling tidak pun ramai yang terkesan berasa bangga, berharapan, sombong, bongkak, bersemangat, pandai, kesal, marah, kecewa, menyampah, runsing, gelabah, terkejut dan ada juga yang tenang (terutama bagi yang faham sangat permainannya). 

Sebetulnya memang lagaknya betul betul seakan atau meniru persembahan seni dari asas fundamentalnya lagi iaitu subjek, bentuk dan isi, juga kepalsuan dan keplastikan yang pasti. Ternyata peniruan ini sudah jadi benar mungkin? Mungkin ini ya satu persembahan seni pikirku, yang berjaya kerana dapat mengganggu seluruh warga. Kejayaannya mengangkat perkara yang tidaklah terlalu penting dan mengejek tahap imaginasi hingga dapat menjadikan penipuan dan peniruan sebagai suatu yang sahih.

Atau ini tandanya kita ini sebenarnya berada dalam negara fasis yang membengkak dan sedang terdedah daging dagingnya dari balutan rapi? Sebahagian dari aku mengatakan keterlaluan untuk membuat pertuduhan sebegitu, fasis itu sejarah lama akhir abad ke19 dan awal abad ke20 di Eropah dahulu, mana mungkin sekarang di sini. Tapi ciri cirinya sama: menghadkan imaginasi pada sempadan negara (dan segala yang bersangkutan dengannya; ultra nasionalis contohnya); mengulangi penipuan berulang ulang sehingga menjadi kebenaran, dan juga betapa ia begitu 'catchy' sehingga keyakinannya diguna pakai dari hooligan, gangster, orang orang gedebe jalanan sehingga pada pemerintah tertinggi negara, tepat!

Berbalik pada subjek lembu. Amat rapatlah dia dengan perumpaan, 'bodoh seperti lembu'. Terang dan simbolik yang tidak bersimpang siur untuk dirungkaikan, khususnya pada yang dikontruksi sosial kesedarannya dalam budaya melayu.

Aku pada 22 Ogos sebelum kejadian gempar itu, siap membuat satu kolaj digital yang di beri tajuk Negaraku dengan mengambil subjek kerbau, yang menghantar mesej simbol yang sama. Kerbau - lembu, mungkin akibat fungsinya dan karakter yang sama, ia membawa simbol yang sama, 'macam kerbau dicucuk hidung', orang yang mengikut apa sahaja kata tuannya. Kolaj ini juga respon dari amarah rasa pada permainan -permainan politik nasional akhir akhir ini yang terlalu menyesakkan. Ia satu respon terus aku terhadap pemerintah yang terlalu membodohkan rakyatnya, atau menganggap rakyat terlalu bodoh dengan pernyataan -pernyataan rasmi dan tindakan yang terlalu mengejek kepandaian orang ramai. Entah ini satu kebetulan atau apa (ada yang suka bergurau dengan kata seperti 'tanda tanda kenabian'!). Ia juga mengingatkan aku pada sebelum itu, bulan Julai, seorang kawan seniman, yang mempamerkan karya lukisannya di sebuah galeri di ibukota dengan bersubjekkan lembu: 

yang bertajuk Destructive Behaviour : After Ahmad Zaki. Daripada temuramah atau perbualan dalam laman web yang mendokumentasikan aktiviti kesenian lokal: Arteri, kata pelukisnya ia juga menggunakan perlambangan yang sama. Tetapi dalam perbualan santai aku dengannya sendiri lukisan ini juga mengejek sikap seniman seniman senior lokal yang terlalu eliitis dan penting diri sendiri sahaja, langsung tidak ada kontribusi pada masyarakat seni, kalau tidak pun pada masyarakat luas, yang aku akui memang benar. Akhirnya berbalik pada perangai dan 'attitude' juga dan selepas tu berleterlah dengan situasi kesenian yang tidak dihargai khalayaklah, tidak berpijak dibumilah, apalah, tanpa melihat diri sendiri. Samalah dengan yang lain lain juga, dengan ruang selesa mereka, celaka!
Tetapi tidaklah rasanya karya dia atau aku ini berjaya menggegar seperti persembahan di hadapan bangunan SUK kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam, pada 28 Ogos lepas (tidak juga pada seni maju tinggi konseptual yang itu) Kerana apa? Kerana ia bukanlah seni, bebas dari klarifikasi seni, rapat dengan hidup. Ternyata 'bukan seni' harus jadi realisasi baru. Mengangkat semuanya sampailah kepada sampah sebagai seni atau sampah seni juga satu pengulangan yang sama. di rel keretapi yang sama. Ternyata pada kesedaran situasi yang sekitar ini ia harus jadi BUKAN SENI! Mungkin 'BUKAN' sahaja. sintak sintak yang membentuk kata SENI selepas bukan juga harus dibuang. Sebab sudah terjangka, ada ukuran, banyak yang suka mengukur, ada ramai yang bina pentas, kukuh dan tegap. Lupakanlah.


Poogenda